Bukan mudah menggandingkan tiga orang jelitawan untuk menjadi penghias muka depan. Komitmen kerja ditambah pula dengan status sebagai isteri dan ibu memerlukan Seri Dewi & Keluarga berusaha mencari tarikh yang sesuai. Namun, kerjasama yang baik oleh ketiga-tiga selebriti ini melancarkan segala perancangan. Berbeza bidang kerjaya, namun masing-masing mudah mesra dan memiliki aura tersendiri.

 

Memasuki usia 42 tahun, dramatis terkenal, Siti Shahrizah atau mesra dengan panggilan Eja tampak begitu ayu dan manis selepas memakai jihab. 'Penghijrahan' bermula selepas beliau pulang dari mengerjakan umrah bersama suami dan anaknya.

 

Sementara Nurul Syuhada Nurul Ain Binti Mohd Zain yang sebelum ini adalah pengacara di stesen TV3 sebelum mengambil keputusan untuk mengundur diri dan memilih menjadi pengacara sambilan untuk rancangan Malaysia Hari Ini (MHI). Dalam pada masa yang sama, dia kini sibuk dengan pengajian dalam bidang Sarjana. Isteri kesayangan Raja Amir Shah Raja Azwa yang sememangnya cukup meminati  bidang Sains membuatkan dia memilih kursus dalam bidang Sains, Teknologi dan Pembangunan Mapan.

 

Manakala, Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron,27, yang menyepikan diri selepas berkahwin, kini muncul kembali. Lebih membanggakan apabila baru-baru ini menyerlah apabila muncul sebagai juara program Masterchef Selebriti musim kedua.

 

MENARIK BULAN INI

Selain temu ramah tiga selebriti ini, terdapat paparan menyayat hati dari kisah masyarakat di muka surat 216. Ikuti juga topik "Awas, Katarak Penyebab Buta", "Dulu Jaga Kedai, Kini Datuk Mohamed Faroz Puas Bina Empayar Jakel", "Bertarung Nyawa Hidap kanser: Maimon Pendam Derita", "Ketahui Punca Hubungan Seks Terjejas", "70++ Idea Fesyen Muslimah" dan banyak lagi. Semuanya terdapat di dalam majalah Seri Dewi & Keluarga keluaran September 2013.