Mengatur langkah ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf ditemani pembantunya, beliau tidak terlihat langsung seperti wanita yang mencecah usia 40-an malah kelihatan seperti remaja 20-an. Dengan susuk tubuh langsing dan wajah awet muda, Datin Nor Aliah Lee Abdullah atau dikenali dengan panggilan Vee ternyata sudi meluangkan masa untuk menjadi penghias muka depan majalah Seri Dewi & KELUARGA kali ini.

Agak lama sunyi dan menyepi, ibu yang mempunyai lima orang cahaya mata ini rupanya giat mengusahakan syarikat produksi miliknya. Bergelar isteri kepada seorang usahawan, pastinya menuntut komitmen dan tanggujawab yang lebih besar apatah lagi dalam masa yang sama menguruskan anak-anak yang sedang meningkat ke usia remaja. Ikuti temu bual eksklusif SDK bersama Datin Nor Aliah Lee yang tidak lokek berkongsi cerita peribadi beliau.

SDK : Apa agaknya perkembangan terkini Datin?
VEE : Alhamdulillah, saya masih aktif menerbitkan drama. Insya-Allah, bulan depan akan terbang ke Sabah untuk penggambaran seterusnya. Selain itu, menguruskan suami dan anak-anak dan meluangkan masa bersama mereka jika berkelapangan.

SDK : Setelah bergelar ibu tunggal, Datin mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua, jadi apa agaknya perbezaan yang dirasakan dan bagaimana pula penerimaan anak-anak?
VEE : Tak dapat dinafikan akan wujud perbezaan apabila saya kembali berumah tangga. Anak-anak apatah lagi. Pada mulanya agak payah mereka menerima kehadiran lelaki lain untuk menjadi ketua keluarga. Anak-anak akan ada peraturan baru, jadual yang lebih tersusun, menepati masa dan berdisiplin. Memandangkan suami sangat menekankan aspek akademik jadi beliau agak tegas dengan anak-anak. Kebetulan arwah bapanya seorang polis dan beliau sudah terbiasa dengan sikap tegas. Saya pula menjadi orang tengah antara anak dan juga suami. Apa yang saya amalkan ialah komunikasi yang baik sama ada dengan anak-anak mahupun suami. Tapi Alhamdulillah, lamakelamaan anak-anak boleh faham dengan situasi dan niat suami saya untuk masa depan mereka diterima dengan baik. Suami pula orangnya suka bercerita jadi bila dengan anak-anak, beliau boleh dekati mereka dan tak lokek berkongsi pendapat.

SDK : Anak-anak kini semakin membesar, jadi apa aktiviti yang sering Datin dan Dato’ lakukan bersama untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan?
VEE : Memang diakui, dahulu semasa anak-anak masih kecil, ke sana ke mari kita akan bawa mereka bersama tapi kini setelah masing-masing membesar, mereka kadang kala ada aktiviti mereka sendiri. Sebagai ibu bapa, kadang kala kami perlu mengikut jadual mereka jika ingin buat sebarang aktiviti. Kebiasaannya kami pergi menonton wayang, bermain boling ataupun badminton sebagai mengisi masa lapang.

SDK : Boleh Datin berkongsi detik perkenalan dan bagaimana menerima kehadiran Dato’ dalam hidup?
VEE : Saya mula mengenali suami pada Mei 2009 ketika melihat perlawanan polo. Kebetulan saya baru sahaja berjinak-jinak dengan sukan berkuda. Ketika perlawanan berlangsung, saya perasan ada seekor kuda ini macam patah kaki. Jadi saya pun datang ke arah kuda tersebut yang diberi nama Azuleha. Rupa-rupanya kuda itu milik suami saya. Bermula dari situ kami mula mengenali dan beberapa bulan selepas itu suami mengajak saya untuk mendirikan rumah tangga. Saya bawa suami berjumpa emak, abang ipar dan kakak untuk meminta persetujuan. Begitu juga dengan pihak suami. Setelah mendapat persetujuan dari keluarga masing-masing, barulah kami mendrikan rumah tangga.

SDK : Boleh ceritakan serba sedikit mengenai Dato’? Apa agaknya ciriciri yang ada pada beliau membuatkan Datin terpaut?
VEE :
Pada pandangan saya, Dato’ merupakan seorang yang tegas dan dalam masa yang sama beliau juga kelakar selain seorang yang tampan di mata saya. Tapi apa yang paling penting membuatkan saya menerima beliau ialah apabila saya perkenalkan dengan anak-anak, beliau boleh menerima anak-anak saya dengan hati terbuka. Dari awal lagi beliau boleh menerima kehadiran anak-anak saya dan mereka mudah menyesuaikan diri. Suami juga seorang bapa yang baik serta menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sebaik mungkin. Di samping itu, beliau seorang yang tidak mudah berputus asa dan sering perbaiki setiap kelemahan. Saya sangat bersyukur diberikan suami seperti beliau yang mana orangnya sangat penyabar dan betul-betul memainkan peranan sebagai ketua keluarga. Malah Dato’ sangat menyokong kerjaya saya dalam bidang penerbitan.

SDK : Dalam usia 40 tahun, Datin masih kekal cantik, bagaimana agaknya menjaga penampilan diri untuk sentiasa kelihatan muda?
VEE :
Alhamdulillah, itu semua anugerah Tuhan. Saya tidak ada sebarang rahsia kecantikan. Mungkin saya dikurniakan bentuk tubuh yang kecil. Namun, apa yang saya sering amalkan ialah banyakkan minum air masak, bersenam seperti main badminton, pergi ke gim dan berkuda. Apatah lagi, suami memang suka bersukan dan dari situ saya sering mengikutnya melakukan aktiviti-aktiviti riadah. Selain itu, saya begitu menitikberatkan penjagaan diri ketika di dalam pantang. Bukan hanya pada anak sulung malah kelima-lima cahaya mata saya, saya berpantang secara tradisional tapi dalam masa yang sama, saya melakukan kerja-kerja rumah dan makan hanya dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.